Rumah bukan hanya sekadar tempat berteduh tetapi rumah juga menjadi saksi kebahagiaan sesebuah keluarga.
Maka tidak hairanlah kebanyakan orang gemar mengubahsuai bahagian luaran dan dalaman rumah untuk kelihatan cantik dan selesa.
Malah cetusan idea yang kreatif membuatkan mahligai anda lebih cantik dipandang dan memberi keselesaan luar biasa untuk didiami.
Macam mana nak jadikan rumah anda menarik dan selesa? Biar Oh Hangat senaraikan 5 buah rumah kreatif di sekitar Lembah Klang. Mana tahu boleh memberi idea kreatif untuk mengubahsuai rumah anda.
1. N18 Sunway Damasara
Siapa sangka di tengah-tengah bandar wujud sebuah rumah ilusi berkonsepkan kayu. Rumah N18, Sunway Damansara ini diberi perhatian lebih terhadap ruang untuk menempatkan keluarga yang besar.
Kebanyakan koridor dan siling dibina dengan kayu bagi memberi rasa nyaman ibarat suasana rumah kampung.
Bagi menambahkan elemen itu, susun atur dalaman rumah ini juga diberi sentuhan tradisional. Cantik kan!
2. Vermani Kuala Lumpur
Dari sudut luar, anda pasti fikir rumah Vermani ini hanyalah rumah yang membosankan.
Dari hadapan mungkin kelihatan seperti rumah berkembar biasa tetapi bahagian sisinya direka dalam bentuk ‘U’! Memang kreatif dan mengagumkan!
Rumah melengkung ini dibina oleh arkitek Eleena Jamil dengan menggunakan elemen batu-bata yang tidak dicat serta konkrit bagi menghasilkan sentuhan realistik.
3. Hijauan Kuala Lumpur
Rumah yang dikelilingi pokok dan tumbuhan hijau pasti memberi suasana nyaman dan damai.
Suasana ini bukan hanya boleh dirasai di kampung malah di tengah ibu kota juga mempunyai sebuah rumah iaitu Hijauan yang berkonsepkan alam semula jadi.
Lebih kreatif, pereka dalaman juga mengambil inspirasi budaya Melayu dengan menggunakan elemen kayu di bahagian lantai dan bumbung.
Barulah rasa suasana kampung lebih-lebih lagi dengan sumber cahaya semula jadi!
4. SS3 Petaling Jaya
Bagi anda yang mahukan rumah berkonsepkan industri, rumah SS3 Petaling Jaya boleh dijadikan contoh yang sesuai.
Ini kerana banglo seluas 4,600 kaki persegi ini menampilkan kemasan jenis konkrit mentah untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza.
Hasilnya, anda dapat melihat ruang terbuka secara ilusi yang digantikan dengan tingkap besar untuk menggantikan kebanyakan dinding yang sedia ada. Memang sesuai bagi anda yang gemarkan suasana selesa dan luas!
5. Residenci DC Damansara Heights
Seringkali rumah kondominium dianggap mempunyai keluasan yang minimum dan tidak sesuai untuk diubahsuai.
Persepsi itu salah sama sekali dengan bukti idea kreatif Nu Infinity yang mengubahsuai sebuah kondominium milik seorang jurugambar dan keluarganya.
Sentuhan Nu Infinity mewujudkan ruang yang luas dengan menambah elemen semulajadi seperti kayu, polok dan marmar.
Pemilihan perabot yang menarik juga memberi ilusi ruang yang besar manakala lantai kayu serta cat berwarna hitam memainkan peranan terhadap elemen itu.
Apa yang pasti, rumah anda juga boleh berubah menjadi cantik dan luar biasa. Janji kreatif!