Berbakat Dalam Bidang Lukisan, Gadis Ini Cuba ‘Tawan Hati’ Shawn Mendes Dengan Karya Lukisan Wajah!
By Hana Japre | 18, May 2018
SHARES
Hasil seni lukisan wajah seorang gadis dari Tawau, Sabah bernama Mady menjadi viral di laman sosial Twitter.
Mady atau nama sebenarnya Madihah Mohamud berusia 23 tahun, cuba meniru kulit album artis antarabangsa, Shawn Mendes sebelum mendapat perkongsian ramai netizen.
Baru 3 tahun membabitkan diri dalam bidang lukisan dan solekan, Mady sendiri tidak menyangka hasil karyanya itu digemari netizen sekali gus berharap Shawn Mendes menyedari usahanya yang memakan masa selama 4 jam itu.
Mady memilih kulit album Shawn Mendes kerana dia menggemari imej, ilustrasi abstrak dan estetik bunga.
Pelajar jurusan Ijazah Geografi dari Universiti Malaysia Sabah ini berpendapat kulit depan album itu mempunyai makna mendalam yang tidak boleh dilihat oleh orang lain.
“Bagi saya, kulit depan album ini sampaikan makna yang dalam bahawa semua orang adalah istimewa pada diri masing-masing. Mungkin orang lain tidak dapat lihat yang diri kita sendiri ada nilai estetik tapi hanya diri sendiri. Dalam muzik video 'In My Blood' juga sangat artistik kerana dia menceritakan tentang anxiety yang dialaminya”, katanya.
Mula meluahkan kreativitinya di atas kertas lukisan, Mady mula mencabar dirinya menjadikan wajah sebagai platform melukis.
Difahamkan, gadis cantik ini tidak pernah menyertai kelas solekan atau melukis dan hanya berlatih bergurukan Youtube serta Instagram.
Setakat ini, lukisan wajahnya itu telah mendapat lebih 1,800 retweet dan 3,000 likes. Namun sehingga kini Shawn Mendes masih belum memberi maklum balas mengenai hasil karyanya itu.