Bila bercerita mengenai penghantaran makanan secara ‘delivery’ sudah pasti ramai yang sudah tahu mengenai FoodPanda.
FoodPanda memang terkenal di Malaysia dan mendapat sambutan yang cukup hangat dalam kalangan masyarakat.
Namun, menerusi satu kenyataan yang dibuat oleh pengurusan Foodpanda, pihak syarikat penghantaran makanan itu memutuskan untuk mengekalkan skim pembayaran baharu kepada “rider” di luar Lembah Klang untuk tempoh sekurang-kurangnya empat minggu sebelum mengambil langkah seterusnya.
Keputusan tersebut telah menyebabkan rasa tidak berpuas hati dalam kalangan netizen yang rata-ratanya bertindak melancarkan boikot terhadap syarikat tersebut.
Ramai netizen yang memuat naik gambar mereka memadam aplikasi tersebut sebagai tanda boikot terhadap syarikat tersebut.
Dakwa segelintir netizen, tindakan boikot terhadap syarikat penghantaran makanan itu adalah untuk memprotes keputusan pengurusan yang memutuskan untuk mengekalkan skim pembayaran baharu sehingga pernah menyebabkan mogok dalam kalangan “rider”.
Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui akaun Twitternya berpendapat bahawa sesebuah syarikat korporat dibangunkan oleh pekerja dan pengguna dan ianya juga boleh dijatuhkan oleh pihak yang sama.
Syed Saddiq juga mengatakan bahawa keangkuhan bukanlah satu jalan penyelesaian yang boleh diambil. Menerusi keputusan tersebut, mogok yang dilancarkan oleh kebanyakan “rider” nampaknya tidak mengubah sebarang keputusan.